Kelebihan Redmi Note 9 Pro: Yang Kita Cari Selama Ini

Kelebihan dan Kekurangan Redmi Note 9 Pro, anda mungkin dah familiar dengan nama Redmi Note 9s dan kagum dengan keupayaan peranti tersebut. Tapi, bagaimana dengan Redmi Note 9 Pro? Adakah peranti ini mampu memberikan apa yang selama ini dicari oleh pengguna?

Berada dalam kelas peranti kelas pertengahan, saya mulakan ulasan ini dengan mengatakan, Redmi Note 9 Pro bakal menambat hati sesiapa sahaja yang berhajat untuk mendapatkannya. Menggunakannya memberikan sebuah pengalaman yang sukar dijumpai pada mana-mana peranti dalam kelas pertengahan yang sama.

Akan tetapi adakah segalanya 100% sempurna? Teruskan bacaan anda untuk mengetahui tahap kesempurnaan Redmi Note 9.

SPESIFIKASI: XIAOMI CUBA BERIKAN SPESIFIKASI YANG TERBAIK

Note 9 Pro hadir dengan spesifikasi kelas pertengahan yang tidak harus dipandang ringan. Peranti tersebut menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 720G (8 nm), 6GB ram, memori sebesar 128GB dengan sokongan microSDXC, skrin IPS bersaiz 6.6.7 inci, 4 lensa kamera gabungan lensa utama 64 MP f/1.9 26mm (wide) PDAF + 8 MP f/2.2, 13mm (ultrawide) + 5 MP f/2.4 (macro) AF + 2 MP f/2.4 (depth), kamera selfie 16 megapiksel, Android 10 berasaskan MIUI11 dan bateri sebesar 5020mAh.

Ciri lain yang anda akan jumpa pada peranti ini ialah sokongan pengecasan pantas 30W, Bluetooth 5.0, keupayaan rakaman video beresolusi 4K@30fps, 1080p@30/60/120fps dan gerak perlahan pada kadar 720p@960fps. Anda mungkin tidak akan percaya apabila saya mengatakan Redmi Note 9 Pro hadir dengan bicu audio 3.5mm, percayalah, walalupun rare, ianya benar.

Kita akan terus ke agenda utama iaitu mengenai kelebihan dan kekurangan Redmi Note 9 Pro. Adakah Xiaomi Berjaya meneruskan momentum kejayaan siri kelas pertengahan mereka?

KELEBIHAN REDMI NOTE 9 PRO

kelebihan redmi note 9 Pro

Terlalu mudah untuk saya senaraikan kelebihan yang ada peranti ini. Ada beberapa aspek yang saya rasakan menjadi faktor utama mengapa anda patut berikan perhatian kepada Redmi Note 9 Pro.

REKAAN: JUST NICE DAN MEMUKAU

Tidak dinafikan apabila melihat Redmi Note 9 Pro dilancarkan, entah kenapa saya cukup berkenan dengan rekaan peranti tersebut.

Hadir dengan 3 pilihan warna utama iaitu Tropical Green, Glacier White dan Interstellar Gray, Xiaomi dilihat tidak ketinggalan dalam menghasilkan peranti yang mengikut peredaran zaman dan perubahan citarasa pengguna. Itu kekuatan utama mereka.

Menggunakan peranti tersebut tidak memberikan perasaan janggal. Jika difikirkan semula, rekaan Redmi Note 9 Pro memenuhi kehendak dan citarasa hampir setiap golongan. Ianya sesuai untuk golongan muda yang inginkan sebuah peranti dengan rekaan segar dan menarik akan tetapi tidak mengenepikan apa yang golongan dewasa inginkan.

PRESTASI: XIAOMI BERJAYA KEKALKAN MOMENTUM KEJAYAAN MEREKA

Satu perkara mengenai peranti kelas pertengahan Xiaomi, jarang untuk saya jumpa orang yang merungut tentang prestasi smartphone Xiaomi.

kelebihan redmi note 9 Pro

Ia umpama setiap pengguna memang cukup berpuas hati dengan apa yang ditawarkan. Dari segi prestasi, Snapdragon 720G membuktikan mereka bukan calang-calang ditambah dengan ram sebesar 6GB, hampir mustahil untuk menjumpai sebarang lag atau isu berkaitan prestasi dari segi kelajuan scrolling, membuka aplikasi dan bermain games bertaraf AAA (ini akan diulas di dalam artikel khas).

Ini berkaitan dengan sistem operasi yang digunakan oleh peranti Xiaomi iaitu MIUI. Jika hendak dibandingkan dengan beberapa Android Skin yang ada di dalam pasaran bagi kelas pertengahan, saya berani meletakkan MIUI pada tempat pertama dalam setiap aspek.

Xiaomi Berjaya menghasilkan Android Skin yang jarang mengalami isu yang serius dari segi prestasi. MIUI dioptimasikan sepenuhnya untuk peranti kelas pertengahan.

Lihat sahaja peranti kelas pertengahan lain yang tidak menggunakan stock Android, anda akan kecewa. Namun, tidak bagi MIUI. Susah untuk mencari kekurangan yang nyata pada MIUI. Ini adalah fakta.

Gabungan hardware dan software yang digunakan pada Redmi note 9 Pro ternyata akan membuatkan pesaing mereka ketar lutut.

PRESTASI BATERI: SERIUS LAH XIAOMI?

Smartphone dengan bateri bersaiz 5000mAh tidak lagi asing di dalam pasaran kita. Tapi anda tahu apa yang “asing” dan “rare” dalam pasaran?

Smartphone yang benar-benar berfungsi seperti sebuah smartphone yang mempunyai bateri sebesar 5,000mAh.

Tatkala smartphone dengan bateri besar yang lain tidak mampu untuk bertahan seperti yang sepatutnya, lain pula yang ditunjukkan oleh Redmi Note 9 Pro. Smartphone ini benar-benar mempunyai ketahanan bateri 5,000mAh yang sebenar. Itu antara kelebihan redmi note 9 Pro

Perkara yang saya tak dapat lupakan ialah pulang ke kampung pada hujung minggu hari Sabtu ( dicas penuh pada waktu pagi) dan masih mempunyai baki bateri yang banyak pada hari Ahad malam selepas pulang semula ke rumah.

Ini saya lakukan tanpa membawa pulang pengecas langsung.

2 hari penggunaan casual dengan purata Screen On Time (SoT) sekitar 7-8 jam ialah cukup baik dan sememangnya terbukti saiz 5,000mAh bukan sekadar angka pelaris jualan.

kelebihan redmi note 9 Pro

Anda berani kemana-kemana tempat yang jauh selama sehari lebih atau dua hari tanpa membawa pengecas atau powerbank? Percayalah, dengan Redmi Note 9 Pro, anda akan auto berani.

kelebihan redmi note 9 Pro

Menyentuh mengenai pengecasan pantas yang terdapat pada peranti ini, secara purata ia hanya mengambil masa sekitar 1 jam 15 minit untuk dicas penuh menggunakan pengecas 30-watt yang dibekalkan.

PRESTASI KAMERA: PENGALAMAN YANG MENYERONOKKAN

Kamera tidak dinafikan sebagai salah satu aspek penting dalam pemilihan sesebuah smartphone. Redmi Note 9 Pro hadir dengan 4 lensa kamera utama dan kamera selfie 16 megapiksel.

Memandangkan saya bukanlah jurugambar professional dan mungkin tidak mampu memberikan ulasan mendalam mengenai prestasi kamera, ulasan kamera peranti ini akan saya sentuh sebagai seorang rakyat biasa yang memerlukan kamera yang baik untuk mengambil gambar untuk dimuatnaik ke social media.

Itu yang hampir semua orang lakukan.

4 lensa kamera gabungan lensa utama 64 MP f/1.9 26mm (wide) PDAF + 8 MP f/2.2, 13mm (ultrawide) + 5 MP f/2.4 (macro) AF + 2 MP f/2.4 (depth) sebenarnya secara asasnya sudah cukup berbaloi dengan apa yang ditawarkan.

Ia mungkin tidak sehebat peranti Pixel oleh Google dan siri iPhone 11. Tidak adil untuk membandingkan secara terus.

Apa yang saya boleh katakan, prestasi kamera Redmi Note 9 Pro mampu membuatkan pesaing lain berpeluh dan tidak senang duduk.

kelebihan redmi note 9 Pro

Secara keseluruhan, prestasi kamera Redmi Note 9 Pro ini amat baik namun tidak lah sampai ke tahap amat mengkagumkan. Bagi sebuah peranti kelas pertengahan dan ditawarkan pada harga mampu milik berbanding pesaing, smartphone ini beraksi cemerlang meninggalkan pesaing terdekat dalam beberapa aspek penilaian.

Ciri Night Mode yang terdapat pada Note 9 Pro secara asasnya tidak mampu menandingi peranti seperti Google Pixel dan iPhone 11, namun ianya cukup baik.

Gambar ketika senja menggunakan mod biasa.
Gambar close up mode menggunakan Redmi Note 9 Pro

KEKUATAN SPEAKER : SEKAMPUNG BOLEH DENGAR

Ini seperkara yang saya perasan mengenai peranti ini. Speaker yang ada pada Redmi Note 9 Pro memang amat kuat. Boleh mengundang malu jika anda lupa untuk memperlahankan bunyi speaker ketika berada di tempat awam.

BAHAGIAN KURANG SERONOK

Saiz Skrin

Redmi Note 9 sebenarnya mempunyai rekaan skrin yang agak panjang, sesetengah pengguna mungkin telah pun biasa dengan aspect ratio sebegitu, namun saya agak “struggle” dengannya.

Ia mungkin memberi kelebihan yang cukup baik ketika anda bermain games dan menonton video namun tidak ketika menggunakan smartphone untuk urusan seharian dimana jari tidak cukup Panjang untuk mencapai aplikasi atau setting diatas.

Pendek kata, penggunaan dua tangan adalah wajib untuk memberi keselesaan maksimum ketika penggunaan.

REKAAN

Secara umumnya, Redmi Note 9 Pro memang kelihatan menarik dan cantik. Itu secara umum dan jika secara mendalam, terdapat beberapa perkara yang membuatkan saya berasa janggal dan kurang seronok untuk menggunakan peranti tersebut.

  • Kedudukan Pengimbas Cap Jari dibahagian sisi kanan.

Ini secara asasnya bukan lah satu isu atau masalah besar. Ianya menjadi isu jika anda seorang kidal kiri yang sentiasa memegang phone menggunakan tangan kiri.

Untuk mencapai pengimbas cap jari di bahagian kanan menggunakan ibu jari / jari tangan kiri amatlah menyeksakan.

End up, terpaksa guna kedua-dua tangan. Perkara ini sedikit sebanyak mengganggu kelancaran saya untuk membuka phone untuk menyemak notifikasi yang masuk.

Saya juga acapkali tersentuh bahagian pengimbas cap jari tersebut ketika memegang peranti di tangan ketika tidak digunakan.

Rekaan pengimbas yang memanjang juga tidak terlalu mesra pengguna dimana saya lebih gemar rekaan tradisional yang lebih mesra bentuk jari.

Keadaan ini dari sudut positifnya telah menukarkan saya kepada seorang yang menggunakan ciri-ciri Gesture pada phone bagi memudahkan penggunaan harian. Ini termasuk mengaktifkan fungsi Face unlock yang terbukti cukup pantas dan efisien.

  • Kedudukan Butang Kawalan Volume

Butang volume Redmi Note 9 Pro terletak dibahagian sisi kanan diatas pengimbas cap jari. Peranti ini pula menggunakan rekaan yang agak Panjang sekaligus menyukar atau sekurang-kurangnya membuatkan saya janggal untuk mencapai butang kawalan volume. Agak struggle disitu.

SISTEM OPERASI MIUI = BLOATWARE?

Dibahagian atas, saya memuji prestasi cemerlang MIUI sebagai sebuah Android Skin yang cukup stabil dan dioptimasi sepenuhnya untuk peranti kelas pertengahan.

Perkara yang kurang seronok menggunakan MIUI11 pada Redmi Note 9 Pro ialah ia dipenuhi dengan aplikasi bloatware.

Bloatware boleh dikategorikan sebagai aplikasi yang kita jarang guna atau tak guna langsung akan tetapi telah dipasang siap pada peranti tatkala kita menggunakannya buat kali pertama.

Ini sedikit sebanyak mengganggu dari segi belum apa-apa, ruangan menu aplikasi telah pun penuh dengan aplikasi yang saya tidak gunakan atau tidak berminat untuk menggunakannya.

Ini walaubagaimanapun mungkin OK dan tiada masalah bagi sesetengah orang. Tidak dinafikan ada orang yang akan hargai aplikasi kegemaran mereka telah dipasang siap tanpa perlu memuat turun dari Play Store. Tambahan pula, pengguna boleh nyahpasang atau uninstall jika tidak ingin menggunakannya.

REKAAN BADAN YANG GEMUK DAN BERAT?

Kalau ikutkan, Redmi Note 9 Pro tidaklah terlalu berat (209g) berbanding beberapa peranti lain. Apa yang mengkagumkan saya, Xiaomi berjaya menjadikan ianya se”slim” yang mungkin memandangkan bateri yang digunakan bersaiz agak besar iaitu 5,000mAh.

Namun, jika anda sebelum ini menggunakan peranti yang jauh lebih ringan dan kemudian bertukar kepada Redmi Note 9 Pro, rasa sedikit berat dan bulky tidak dapat dipisahkan.

Memegang peranti ini sambil baring dan phone diatas muka, boleh menyebabkan anda berada di awangan jika ianya terlepas dan terjatuh keatas muka sendiri.

KEKURANGAN REDMI NOTE 9 PRO

Tiada smartphone yang 100% sempurna tanpa sebarang kekurangan. Akan tetapi, melihat kepada prestasi yang cukup pantas dan harga yang ditawarkan amat mampu milik agak susah untuk mencari perkara yang menjadi kekurangan pada Redmi Note 9 Pro ini.

Namun, terdapat beberapa penambahbaikan yang bagi saya boleh dilakukan bagi menjadikan ia lebih seronok dan berbaloi untuk dimiliki.

  • Bebaskan MIUI dari aplikasi Bloatware yang terlalu banyak.
  • Kamera boleh ditambahbaik terutama ciri Night Mode yang kadangkala menghasilkan gambar tidak konsisten.
  • Kedudukan Volume Button yang tidak praktikal untuk casual use.
  • Penggunaan pengimbas cap jari dibahagian sisi agak tidak mesra pengguna kidal atau lefthanded. Pengimbas cap jari terbina pada skrin atau dibahagian belakang lebih mesra kesemua jenis pengguna.
KESIMPULAN: UNTUK SIAPA SEBENARNYA REDMI NOTE 9 PRO NI?

Sejak saya menggunakan peranti ini selama hampir dua minggu, saya tidak dapat elak dari merasakan bahawa Redmi Note 9 Pro sebenarnya lebih memfokuskan kepada gamers dan ingin menjadi peranti gaming terbaik dalam kelas pertengahan.

Lihat sahaja kepada semua ciri dan spefikasi yang ada pada peranti ini. Semuanya menjurus kepada menjadikan pengalaman bermain games yang amat baik walaupun hanya cuma smartphone kelas pertengahan.

Saya merasakan Xiaomi secara senyap cuba membuktikan betapa berkemampuannya peranti kelas pertengahan mereka sebagai sebuah peranti gaming.

Jom kita lihat beberapa ciri yang saya rasakan dibuat khas untuk memberi pengalaman bermain game yang lebih baik.

  • Bateri bersaiz 5,000mAh + Pengecasan pantas.
    – Tak perlu sembang banyak, ini antara faktor utama dalam menjadikan sesebuah peranti itu seronok untuk digunakan bermain game. YA, Redmi Note 9 Pro ada kedua-duanya.
  • Skrin penuh bersaiz 6.67 inci
    -Tiada apa yang lebih menyeronokkan daripada bermain game dengan skrin yang cun dan besar akan tetapi menggunakan badan yang kompak.
  • Rekaan badan yang lebar serta Panjang dan sedikit Berat
    -Memegang Redmi Note 9 Pro dalam posisi melintang untuk bermain game sememangnya amat selesa. Ianya macam “just nice” untuk dipegang buat satu tempoh panjang.
  • Headphone Jack + Sokongan Memori kad.
    -Smartphone ini hadir dengan dua perkara yang agak rare untuk pertengahan 2020 ini iaitu bicu audio dan sokongan memori kad (dipercayai menyokong sehingga 512gb). Untuk apa lagi kedua ini jika ianya bukan untuk menjadikan pengalaman bermain game yang lebih baik.
  • Game Booster terbina
    -Ya, MIUI11 hadir dengan ciri yang digelar Game Booster yang mampu meningkatkan prestasi dan fokus kepada permainan yang lebih smooth tanpa gangguan. Ini sudah terang lagi bersuluh.

Walaupun apa pun, ini merupakan peranti yang akan saya syorkan kepada sesiapa sahaja yang bertanya mengenai smartphone apa yang berbaloi untuk dimiliki. Tiada yang lain. Kelebihan Redmi Note 9 Pro menjadikan ia antara yang patut anda beri perhatian.

Baca: Tanda-Tanda Telefon Pintar Dijangkiti Virus / Malware
Baca: Cara Terbaik Jimatkan Bateri Laptop Anda

Xiaomi mencuba sedaya upaya untuk “tick all the boxes” bagi sebuah peranti kelas pertengahan, dan harus saya katakan bahawa mereka hampir berjaya untuk melengkapkan Redmi Note 9 Pro ini.

  •  
  •   
  •   
  •  
  •  
  •  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here