Review Kelebihan dan Kekurangan Xiaomi Mi Mix 3

Kelebihan dan kekurangan Xiaomi Mi Mix 3 , itu yang akan saya ulas dalam artikel kali ini. Siri Mi Mix merupakan flagship premium daripada Xiaomi Malaysia yang dilengkapi dengan spesifikasi terbaik yang ada pada tahun 2019 ini. Saya mampu menahan diri daripada memiliki Mi Mix generasi pertama dan juga kedua. Akan tetapi untuk generasi ketiga ini, memandangkan ia hadir dengan rekaan serta spesifikasi lebih baik berbanding generasi sebelum ini termasuk ditawarkan secara rasmi oleh Mi Malaysia, ia satu peluang yang tidak boleh dilepaskan.

Secara kertas, ini merupakan peranti idaman setiap pengguna smartphone. Rekaan premium, Snapdragon 845, 6GB ram, memori terbina 128GB, dwi -kamera utama 12 megapiksel dengan rating 108 daripada DXOMark, rekaan slider berasaskan magnetic untuk membuka dwi-kamera hadapan 24 megapiksel, sistem operasi MIUI10 berasaskan Android 9.0 Pie dan bateri bersaiz 3200mAh. Fuhhh. Atas kertas, memang fuhh, akan tetapi bagaimana dengan pengalaman harian menggunakan peranti ini ?

Saya mulakan ulasan ini dengan pendapat peribadi saya secara kesuluruhan. Mi Mix 3 akan membuatkan anda tergamam untuk 5 minit sebelum muka anda berkerut selepas menggunakannya untuk beberapa minggu. Mengapa? Baca keseluruhan artikel dan anda akan tahu mengapa.

Saya bahagikan artikel review ini kepada beberapa bahagian supaya ianya mudah difahami dan straight to the point tanpa perlu belok kiri dan kanan.Ketika awal pelancaran peranti ini, Mi Mix 3 menarik perhatian saya  dengan rekaan skrin penuh tanpa sebarang notch dibahagian hadapan, lebih menarik lagi ialah, kamera hadapan kini “disorokkan” dibahagian belakang.

DI DALAM KOTAK

Xiaomi menyertakan beberapa aksesori tambahan yang amat berguna untuk pengguna Mi Mix 3,  anda akan memperolehi :

1- Hard case untuk melindungi kemasan seramik bahagian belakang.
2- Wireless Charging Pad
3- Audio Jack Adapter

 TONTON VIDEO ULASAN PENUH

REKAAN DAN KEMASAN

Fuhhhh, seksi terlajak. Rekaan dan kemasan Xiaomi Mi Mix 3 akan membuatkan anda dan sesiapa sahaja yang nampak anda menggunakan peranti tersebut, tergamam sepanjang zaman. Cukup premium, lawa dan tidak dapat untuk digambarkan dengan kata-kata. 11/10 untuk kemasan.

Tiada yang lebih cantik daripada seramik bersinar dibahagian belakang. Xiaomi Mi Mix 3 hadir dengan 3 pilihan warna berbeza iaitu Onyx Black, Jade Green dan Ocean Blue. Buat masa ini, hanya versi 6GB ram dan 128GB memori terbina sahaja yang ditawarkan oleh Mi Malaysia, tiada versi 8GB/256GB mahupun 10GB/256GB ditawarkan ketika artikel ini ditulis.

Mi Mix 3 dilengkapi dengan skrin full HD 1080p bersaiz 6.4 inci. Ianya sebenarnya cukup besar, akan tetapi Xiaomi berjaya membuatkan peranti tersebut cukup kompak dan selesa untuk dipegang dengan sebelah tangan. Paling penting, tiada notch yang menganggu penglihatan.

Seperti biasa, tiada bicu audio (headphone jack) akan tetapi Xiaomi membekalkan sambungan tambahan untuk mereka yang ingin menggunakan earphone/headphone tradisional. Xiaomi mengambil langkah bijak kali ini untuk menyertakan fungsi pengecasan tanpa wayar dan lebih bijak lagi, mereka turut membekalkan Wireless Charging Pad secara percuma yang hadir sebagai aksesori tambahan di dalam kotak.

Seperkara lagi ialah, Mi Mix 3 kali ini hadir dengan butang tambahan iaitu butang Google Assistant yang dipanggil secara rasmi sebagai AI Button. Anda boleh mengubah fungsi butang AI tersebut namun hanya terhad untuk beberapa fungsi sahaja dan masih mengutamakan fungsi Google Assistant. Malangnya, butang tersebut tidak boleh digunakan untuk membuka apa-apa aplikasi yang anda inginkan.

SLIDER PHONE : BERADA DALAM KELAS TERSENDIRI

Setahun dua kebelakangan ini menyaksikan slider phone menjadi trend untuk beberapa jenama dalam menghasilkan peranti dengan skrin sepenuhnya tanpa sebarang notch. Xiaomi Mi Mix 3 hadir dengan rekaan slider dimana anda perlu slide skrin hadapan kebawah untuk menggunakan dwi-kamera selfie 24 megapiksel yang akan terbuka secara automatik.Saya agak ragu-ragu dan kurang keyakinan mengenai tahap ketahanan Mi Mix 3 kerana rekaan slider menjadikan ia berpotensi untuk mengalami masalah.

Xiaomi mengambil keputusan untuk menggunakan slider berasaskan magnet (magnetic slider). Bagi saya ia lebih menyakinkan dan kurang terdedah kepada risiko kerosakan berbanding mekanisme slider yang lain seperti mechanical slider yang dikawal oleh perisian.

Tetapan Slider pada Mi mix 3

Xiaomi turut membenarkan pengguna Mi Mix 3 untuk mengubah fungsi yang terdapat pada slider phone tersebut. Terdapat tetapan khas untuk fungsi slide Mi Mix 3 yang boleh ditetapkan samada membuka aplikasi tertentu, membuka kamera hadapan ataupun offkan terus fungsi tersebut. Anda juga boleh menukar animasi serta bunyi yang dihasilkan apabila slider digunakan.

Saya secara peribadi, kekok untuk menggunakan fungsi slider dan mengalami sedikit kesukaran untuk membiasakan diri menarik skrin hadapan kebawah.

MI MIX 3 : GAMING ATAU BISNES? KENAPA TIDAK DUA-DUA SEKALI?

Siri peranti Mi Mix merupakan siri yang direka untuk golongan professional dan usahawan yang mementingkan nilai astetik dan rupabentuk premium. Xiaomi juga telah pun mempunyai sub-brand khusus gaming mereka, iaitu Black Shark 2. Jadi adakah Mi Mix 3 sesuai untuk bermain games? Jawapan mudah, memang nikmat!

Bermain games pada smartphone yang mempunyai skrin penuh tanpa sebarang notch adalah satu nikmat yang susah untuk dijumpai pada mana-mana smartphone jenama lain. Mi Mix 3 menggunakan spesifikasi canggih termasuk cip pemprosesan Snapdragon 845, 6GB ram dan skrin penuh dengan aspek ratio 19.5:9 .

Anda boleh mencampak apa-apa permainan HD kegemaran ke dalam peranti ini, ianya tidak akan berpeluh walau sedikit. Xiaomi dilihat turut memastikan Mi Mix 3 mampu memberikan pengalaman bermain games terbaik yang terdapat pada sesebuah smartphone.

SISTEM OPERASI : MIUI10 TERUS CEMERLANG

Di dalam ulasan Xiaomi Mi Note 3 tidak berapa lama dahulu, saya memuji sistem operasi MIUI9 yang amat cemerlang dari segi prestasi. Kini MIUI10 telah pun diperkenalkan dan bagi saya ianya cukup padu.

MIUI berjaya muncul sebagai sistem operasi berasaskan Android yang amat ringan dan stabil. Ini termasuk rekaan antaramuka yang minimal dan ringkas. Jauh berbeza dengan beberapa Android Skin dari pengeluar lain. MIUI menjadikan pengalaman menggunakan peranti Android sebagai salah satu pengalaman terbaik pernah dirasai.

Jika dahulu, ramai yang akan beralih kepada custom rom berasaskan stock Android, akan tetapi tidak lagi dengan adanya MIUI. Secara peribadi, saya  amat selesa menggunakan MIUI10, membuatkan saya sedikit kekok menggunakan custom rom stock Android (LineageOS) apabila beberapa fungsi dan ciri yang saya kira lebih baik berbanding stock Android tidak dapat digunakan.

KAMERA : BOLEH TAHAN 

Aspek kamera merupakan point utama kebanyakkan pengguna dalam memilih smartphone.Dwi-kamera utama 12 megapiksel Xiaomi Mi Mix 3 tidak akan mengecewakan anda, ini turut diperakui oleh DXOMark, sebuah badan yang menilai kemampuan kamera sesebuah peranti.

Pengalaman menggunakan kamera peranti tersebut pada waktu malam gagal membuatkan saya rasa kagum. Ianya tidak sehebat yang saya jangkakan. Mungkin kerana telah biasa menggunakan Google Camera yang tidak dapat dinafikan, telah menetapkan satu standard yang amat-amat tinggi dalam aspek mengambil gambar didalam keadaan gelap dan kurang cahaya.

Gambar waktu malam menggunakan Night Mode Mi Mix 3
HDR diaktifkan tanpa Night mode.
Night Mode Mi mix 3
HDR diaktifkan, tanpa Night mode

Night Mode pada Mi Mix 3 kadangkala menghasilkan gambar yang kurang memuaskan hati. Ianya satu aspek yang perlu dipertingkatkan dalam kemaskini akan datang.

Jika anda tertanya-tanya mengenai kualiti dwi-kamera 24 megapiksel pada bahagian hadapan peranti  ini, ianya merupakan antara yang terbaik yang ada pada sesebuah smartphone. Kualiti yang terhasil cukup jelas, warna yang menarik dan terperinci.

PRESTASI BATERI : SUAM-SUAM KUKU

Jika dilihat apa yang ada pada Xiaomi Mi Mix 3, segalanya adalah premium dan cukup baik untuk dinobatkan sebagai salah satu peranti terbaik awal 2019. Adakah benar? Jawapan ringkasnya adalah tidak.

MIUI menurut pengalaman peribadi saya sendiri, merupakan satu sistem operasi yang cukup cekap dalam menguruskan bateri peranti Xiaomi. Ini terbukti saat menggunakan Mi Mix 3 yang hanya mempunyai bateri bersaiz 3200mAh.

Prestasi Bateri Mi Mix 3 : Social Media + Gaming + Rakaman Video

Xiaomi membuat keputusan untuk menggunakan saiz bateri yang kecil untuk sebuah peranti flagship premium mereka. Satu keputusan yang gagal untuk saya fahami dengan baik. Segala-galanya adalah tiptop kecuali saiz bateri.

Mi Mix 3 pada hemat saya, hanya sesuai untuk tujuan selain daripada gaming. Sekali anda bermain games, terutamanya permainan HD seperti PUBG, NFS No Limit, Asphalt series dan lain-lain, akan menyebabkan bateri smartphone tersebut mengalir seperti air. Ini boleh difahami bahawa MI Mix 3 bukanlah direka sepenuhnya untuk tujuan bermain games secara berterusan.

Pendek kata, bateri bersaiz 3,200mAh adalah mencukupi untuk sehari penggunaan berterusan tanpa bermain permainan HD dengan kerap. Mi Mix 3 menyokong fungsi pengecasan pantas Qualcomm  Quick Charge 4+ (18 watt) yang mampu mengecas penuh peranti tersebut dalam masa kurang dari 90 minit.

Pengecasan tanpa wayar (10 watt) peranti ini menggunakan charging pada yang dibekalkan akan membuatkan anda berjanggut untuk tunggu ia penuh. Hampir 3 jam diperlukan untuk mengecas penuh Mi Mix 3 menggunakan pengecas tanpa wayar. Fuhh.

PRESTASI KESELURUHAN : SNAPDRAGON 845 POWER!

Pendapat saya tentang prestasi keseluruhan Xiaomi Mi Mix 3 ini? Hampir tiada cacat cela. Gabungan cip pemprosesan tercanggih, dibantu pula dengan ram sebesar 6GB dan sistem operasi MIUI10, ini merupakan gabungan padu yang mampu menguruskan dengan baik segala perkara yang anda ingin peranti ini lakukan.

Mi Mix 3 mengajar anda apa itu erti sebenar smartphone yang smooth dan laju tanpa sebarang lag. Ciri-ciri lain seperti pengesan cap jari dan imbasan wajah berfungsi dengan cukup pantas tanpa sebarang isu dan masalah.

KELEBIHAN XIAOMI MI MIX 3

Definisi sebenar kecantikan –
Peranti ini dihasilkan dengan gabungan seni dan teknologi ( Art x Technology ). Penggunaan seramik pada bahagian belakang Mi Mix 3 menjadikan ianya cukup cantik, anda akan terus kagum walaupun telah menggunakannya berbulan-bulan.

Prestasi padu – 
Tidak cukup dengan rupabentuk premium, ia turut dipadankan dengan cip pemprosesan terbaik 2018 dan awal 2019 ini. Gabungan cip pemprosesan Snapdragon 845, 6GB ram dan MIUI 10 sebagai sistem operasi ialah satu gabungan padu, memberikan pengalaman penggunaan yang amat memuaskan hati.

Kamera
Ini merupakan kekuatan Mi Mix 3. Gambar yang dihasilkan mampu membuatkan peranti kamera lain ketar lutut * pandang Huawei P20 Pro *. Mi Mix 3 mampu menghasilkan gambar tanpa perlu memprosesnya secara berlebihan, warna yang tepat dan cukup natural.

Dwi-kamera selfie 24 megapiksel pada smartphone ini bakal menjadi kegilaan wanita. Ia menghasilkan gambar selfie yang cukup lawa, cukup untuk membuatkan crush anda tidak tidur malam tatkala melihat gambar selfie anda menggunakan Mi Mix 3.

Rakaman video termasuk kualiti rakaman audio menggunakan dwi-kamera hadapan 24 megapiksel menjanjikan pengalaman yang cukup menyenangkan hati. Audio dan video cukup clear, cukup jelas, menyajikan details yang baik. Jika anda rajin bersiaran langsung (live) di sosial media, Mi Mix 3 tidak akan mengecewakan anda.

Button AI
– Keputusan Xiaomi untuk meletakkan butang tambahan sedikit sebanyak memudahkan mereka yang kerap menggunakan aplikasi Google Assistant. Ianya memudahkan akan tetapi anda mungkin akan keliru dan tertukar Butang AI tersebut dengan butang kuasa yang terletak dibahagian bawah volume rocker.

Slider Dengan Pelbagai Fungsi
– Antara keputusan bijak Xiaomi ialah membenarkan pengguna untuk menetapkan sendiri fungsi slider pada Mi Mix 3. Ini sangat convenient dimana jika anda jarang menggunakan kamera selfie, ia boleh ditetapkan untuk membuka aplikasi kegemaran dengan hanya slide kebawah.

KEKURANGAN XIAOMI MI MIX 3

Xiaomi Mi Mix 3 mempunyai beberapa kekurangan yang membelenggu antaranya ialah :-

Saiz bateri yang kecil
– Xiaomi sebelum ini terkenal dengan style mereka yang menggunakan bateri bersaiz besar sekitar 4,000mAh terutama untuk peranti kelas pertengahan.Namun, sebaliknya yang berlaku dengan Mi Mix 3 dimana ia dilengkapi dengan bateri bersaiz 3,200mAh. Jika anda bukan seorang gamer tegar, jangan risau, bateri tersebut mencukupi untuk penggunaan seharian.

Gemuk dan Berat
– Itu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan saiz Xiaomi Mi Mix 3. Menggunakan slider bermaksud peranti tersebut sedikit lebih tebal dan kemasan seramik (mungkin) membuatkan ia agak berat berbanding kebanyakkan peranti lain. Jika anda seorang yang gemar dengan peranti ringan seperti saya, Mi Mix 3 bukan pilihan yang tepat. Memegang peranti ini sambil baring dan phone diatas muka, boleh menyebabkan anda berada di awangan jika ianya terlepas dan terjatuh keatas muka sendiri.

Slider : Awkward dan Kekok
– Sehingga artikel ini ditulis, saya masih berasa awkward untuk menggunakan slider Xiaomi Mi Mix 3. Slide skrin kebawah jelas bukan yang terbaik, ianya agak ketat (masih baru) dan jari anda perlu berada di dalam kedudukan yang tepat bagi membolehkan skrin di slide dengan jayanya. Itu belum kira anda perlu apply pressure yang tepat pada skrin, bagi membolehkan jari melekat cukup kuat untuk tarik skrin kebawah. Anda nampak struggle yang saya maksudkan?

Amaran : Pastikan anda menggunakan case yang diberi sebelum slide menggunakan sebelah tangan. Permukaan seramik yang cukup licin berisiko menghantar peranti Mi Mix 3 anda mencium lantai atau tar dikaki, berkecai jika tidak bernasib baik.

Speaker
– Terdapat dua speaker grill pada bahagian bawah, namun hanya belah kanan berfungsi sebagai speaker mengeluarkan bunyi dan sebelah lagi lebih kepada  hiasan. Isu utama speaker belah bawah? Kerap terhalang ketika bermain games dan menonton Youtube.

Pengecasan Tanpa Wayar Tanpa Kelajuan
– Proses mengecas Mi Mix 3 menggunakan Wireless Charging Pad yang dibekalkan mengambil masa hampir 3 jam untuk penuh. Ini akan membuatkan anda berjanggut untuk menunggu ia penuh.

KESIMPULAN

Xiaomi Mi Mix 3 merupakan definisi sebenar peranti bertaraf premium. Kemasan seramik, rekaan yang cukup selesa untuk dipegang, prestasi sebenar flagship digabungkan dengan keunikan yang ada, menjadikan ia sebagai smartphone terbaik untuk awal 2019 ini.

“Mi Mix 3 akan membuatkan anda tergamam untuk 5 minit sebelum muka anda berkerut selepas menggunakannya untuk beberapa minggu. Mengapa? “

Anda akan tergamam dan kagum dengan kualiti binaan peranti ini, termasuk prestasi yang amat baik dan kamera yang menjanjikan pengalaman terbaik untuk pengguna. Akan tetapi muka anda akan berkerut tatkala perasan prestasi bateri yang suam-suam kuku, berat peranti yang agak berat dan pengecasan tanpa wayar yang mengambil masa 3 jam untuk penuh.

Apa yang baiknya ialah anda tidak perlu membayar harga mencecah 4-5 ribu untuk memperolehi sesuatu yang lebih baik berbanding peranti pintar berharga RM4,000.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here