Kenapa Anda Wajib Pastikan Smartphone Anda Sentiasa Dikemaskini

Bila berbincang mengenai soal kemaskini smartphone, satu perkara yang saya sedar ialah kebanyakkan pengguna jarang memberi perhatian terhadap kemaskini yang diterima. Sejauh mana tindakan membiarkan peranti tidak dikemaskini akan memberi kesan terhadap penggunaan anda dan peranti itu sendiri ?

Perkara pertama yang anda perlu fahami ialah kemaskini yang diterima oleh smartphone boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama ialah “system update” ataupun kemaskini sistem dan kedua ialah “apps update” yang memfokuskan kepada kemaskini aplikasi yang anda gunakan pada smartphone masing-masing.

Pengguna perlu memahami tujuan sesebuah kemaskini dikeluarkan. Adakah pengeluar sesuka hati mengeluarkan kemaskini untuk peranti anda atau adakah ia bersebab?

Kedua-dua perkara ini amat penting dan tidak seharusnya diabaikan. Mengapa?

PENAMBAHBAIKAN SECARA KESULURUHAN

Ini tujuan utama mengapa kemaskini dikeluarkan secara berkala baik untuk sistem operasi mahupun aplikasi yang digunakan. Smartphone tidak akan stabil selama-lamanya, semakin lama anda gunakan semakin banyak isu yang akan terjadi. Isu paling kerap berlaku ialah prestasi menurun, prestasi bateri semakin teruk, aplikasi kerap mengalami “force closed” dan pelbagai lagi.

Secara umumnya, kemaskini yang dikeluarkan akan memberi nafas baru kepada peranti anda, meningkat prestasi seperti menjadikan peranti pintar lebih laju dan smooth, mengurangkan masalah peranti menjadi panas atau overheat dan meningkatkan prestasi bateri supaya lebih tahan lama.

Pengeluar smartphone juga pada kebiasaanya akan memperkenalkan banyak ciri dan fungsi baru kepada pengguna melalui kemaskini terkini oleh mereka. Ini termasuk keupayaan kamera yang dipertingkatkan dan lain-lain lagi.

SOAL KESELAMATAN

Salah satu isu serius melibatkan sekuriti peranti pintar ialah kewujudan apa yang dipanggil sebagai vulnerability, satu kekurangan yang wujud apabila pengeluar terlepas pandang aspek keselamatan peranti. Contoh paling jelas ialah kes yang berlaku pada peranti Oneplus 6 dimana satu masalah vulnerability dijumpai pada bahagian bootloader smartphone tersebut. Ia boleh menyebabkan peranti Oneplus 6 dikawal oleh orang lain. Oneplus walaubagaimanapun telah mengeluarkan kemaskini baru untuk mengatasi masalah tersebut.

Selain vulnerability yang disebutkan tadi, isu lain yang biasa berlaku ialah jangkitan malware pada smartphone. Malware boleh berjangkit daripada aplikasi yang telah diubahsuai dan dimuat turun luar dari Play Store. Namun, sesetengah aplikasi yang dijangkiti malware kadangkala boleh dijumpa di dalam Play Store sendiri.

Ini antara perkara biasa yang akan terjadi apabila smartphone anda dijangkiti malware :-

1- Smartphone akan dihujani dengan pelbagai iklan menyakitkan hati yang keluar setiap masa dan kadangkala berada di panel notifikasi anda.
2- Pelbagai aplikasi pihak ketiga akan dipasang tanpa anda sedar.
3- Prestasi smartphone akan turun dengan mendadak disebabkan gangguan oleh malware itu sendiri, aplikasi pihak ketiga dan iklan-iklan yang muncul.
4- Data peribadi boleh dicuri tanpa anda sedari.
5- dll

Bagaimana sesebuah kemaskini boleh membantu mengatasi masalah jangkitan malware? Kebiasaannya, dalam setiap kemaskini baru akan disertakan dengan kawalan sekuriti yang dipertingkatkan dan mampu menghalang aplikasi yang dijangkiti malware daripada dipasang pada peranti anda.

SOAL PRESTASI PERANTI

Smartphone merupakan sebuah alat elektronik yang akan mengalami penurunan dari segi prestasi dari masa ke semasa. Sistem operasi yang digunakan tidak akan selamanya berfungsi dengan baik. Pelbagai isu akan timbul yang menyebabkan pengguna akhirnya menukar peranti yang dimiliki. Ini fakta.

Untuk mengelakkan perkara tersebut, pengeluar termasuk pemilik sistem operasi seperti Google dan Apple akan mengeluarkan kemaskini berkala yang bertujuan untuk memastikan peranti sentiasa berada dalam keadaan terbaik tanpa sebarang isu serius.

Ini tidak hanya terhad untuk kemaskini sistem operasi akan tetapi juga diaplikasi kepada kemaskini aplikasi. Dua perkara ini saling berkait rapat.  Apabila sistem operasi menerima kemaskini, perkara paling utama ialah memastikan aplikasi anda turut dikemaskini bagi mengelakkan masalah timbul.

Setiap aplikasi dioptimasi sepenuhnya untuk menyokong kemaskini yang terbaru. Kegagalan mengemaskini kedua-duanya boleh menyebabkan aplikasi yang digunakan mengganggu prestasi smartphone dan untuk sistem operasi pula, ia boleh menyebabkan peranti anda gagal berfungsi dengan baik. Masalah paling biasa yang boleh anda jumpa pada peranti Android ialah seperti “Google Play Store has stopped working” dan lain-lain lagi.

Jadi, pastikan peranti anda sentiasa dikemaskini untuk memastikan ia berada dalam keadaan terbaik.

AKSES UNTUK MENGGUNAKAN APLIKASI DIHALANG

Selain daripada dua yang dinyatakan diatas, kegagalan untuk mengemaskini setiap aplikasi boleh menyebabkan akses untuk menggunakan aplikasi tersebut dihalang sehinggalah anda mengemaskini aplikasi tersebut. Aplikasi WhatsApp sebagai contoh, dilengkapi dengan ciri-ciri sekuriti yang memerlukan pengguna untuk sentiasa mengemaskini aplikasi mereka.

Jika dilihat pada kemaskini yang dikeluarkan, tidak dapat dinafikan bahawa kadangkala masalah baru akan timbul setiap kali kemaskini baru dikeluarkan. Namun, itu lebih baik berbanding anda membiarkan puluhan aplikasi tidak dikemaskini termasuk menggunakan sistem operasi lama yang terdedah kepada flaws ataupun kekurangan yang wujud. Itu semua akan mengganggu prestasi smartphone anda secara keseluruhan.

Sudah jelas rasanya mengapa anda perlu memastikan smartphone anda sentiasa dikemaskini setiap kali kemaskini baru dikeluarkan. Ini boleh membantu peranti anda untuk bertahan dalam masa jangka yang lama selain melindungi data peribadi anda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here