Apa itu GPU Turbo Pada Peranti Honor? – Cukup Hebat!

Harga Honor Play di Malaysia yang dilancarkan hari ini sangat menarik bagi saya. Akan tetapi lebih menarik lagi apabila mengetahui peranti tersebut dilengkapi dengan teknologi GPU Turbo dan dijual pada harga yang saya kira amat murah iaitu RM1249.

Jadi, apa itu GPU Turbo?

Ia merupakan sebuah teknologi rekaan pihak Huawei yang hanya terdapat pada peranti terbaru milik mereka. Apa yang membuatkan GPU Turbo ini sangat menarik ialah, ia mampu menjadikan smartphone kelas pertengahan sebagai sebuah smartphone gaming tanpa perlu menggunakan cip pemprosesan tercanggih yang ada di dalam pasaran. Cukup dengan spesifikasi kelas pertengahan.

Kelebihan GPU Turbo ini secara umumnya ialah pengguna dapat memiliki sebuah smartphone yang memfokuskan kepada permainan mudah alih pada harga yang sangat rendah serta kompetitif. Lihat sahaja Honor Play yang dijual pada harga RM1249 berbanding smartphone gaming lain yang dijual pada harga melebihi RM2000.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermaksud peranti flagship milik Huawei dan Honor yang lain tidak akan dilengkapi dengan GPU Turbo. Dalam kenyataan mereka, beberapa peranti lain akan menerima kemaskini GPU Turbo pada masa akan datang.

Bagaimana ia berfungsi?

GPU Turbo berfungsi dengan cara menaik taraf prestasi GPU smartphone anda secara mendadak dan memberikan hasil serta keputusan yang memberangsangkan. Ini dilakukan tanpa sebarang perubahan pada bahagian hardware.

Teknologi ini akan meningkatkan prestasi GPU smartphone sehingga 60% dan juga akan merendahkan penggunaan bateri sehingga 30%. Ini bermaksud pengguna dapat bermain permainan mudah alih dengan prestasi yang cemerlang dan kualiti yang baik namun tidak memberi kesan kepada penggunaan bateri.

Antara kelebihan lain yang akan diperolehi menggunakan GPU Turbo ini ialah frame rates permainan yang lebih tinggi, permainan lebih lancar dan pantas serta visual permainan yang jauh lebih baik dimana fungsi HDR akan diaktifkan. Lebih menarik lagi ialah, pengguna tidak akan mengalami masalah kepanasan melampau atau overheat pada smartphone masing-masing.

Pada peringkat awal ini, GPU Turbo ini hanya menyokong dua permainan mudah alih terkenal iaitu PUBG dan juga Bang Bang dan akan diperluaskan lagi untuk permainan-permainan lain.

Menurut Huawei, kemaskini GPU Turbo untuk peranti mereka bukan hanya sekadar untuk permainan mudah alih, akan tetapi juga akan menaiktaraf antaramuka sistem operasi EMUI mereka termasuk menjadikan aplikasi AR dan VR lebih lancar.

SMARTPHONE YANG MENYOKONG GPU TURBO

Pada asalnya, hanya peranti Honor yang akan dikemaskini untuk menerima GPU Turbo ini. Akan tetapi Huawei mengatakan sejumlah peranti mereka akan turut menerima kemaskini serupa. Rujuk jadual kemaskini dibawah untuk mengetahu samada peranti anda tersenarai atau tidak.

Bagi peranti Honor pula, buat masa ini Honor Play  yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia telah pun dilengkapi dengan GPU Turbo selain beberapa peranti lain seperti Honor View 10, Honor 9 Lite, Honor 7X, Honor 8 Pro dan Honor 9.

Jika anda mencari sebuah smartphone khusus untuk bermain permainan mudah alih, buat masa ini, peranti keluaran Honor dan Huawei adalah pilihan terbaik.

sumber rujukan : 1 | 2 | 3

Jangan lupa untuk sertai team kami di Youtube | Facebook Page | Twitter dan Instagram untuk lebih banyak informasi berkaitan dunia teknologi mudah alih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here