Review Kelebihan Dan Kekurangan Xiaomi Mi Note 3

Review Kelebihan Dan Kekurangan Xiaomi Mi Note 3, kenapa saya pilih untuk mengulas peranti yang tak dikenali ramai disaat pihak Mi Malaysia telah pun membawa masuk model seperti siri Redmi 5 dan Redmi Note 5 ? Untuk mengetahui jawapannya, anda perlu membaca kesuluruhan ulasan Xiaomi Mi Note 3 ini.

Secara ringkasnya, jika anda fikir dan hadam ulasan saya dibawah, Xiaomi Mi Note 3 sebenarnya definisi terbaik peranti paling berbaloi untuk anda miliki.

Kelebihan dan kekurangan MI Note 3 akan saya sentuh dalam beberapa aspek yang dirasakan sesuai untuk semua golongan pengguna. Tak kisahlah jika anda seorang pengguna casual atau advance user yang 24/7 duk godek phone, root dan tukar rom setiap masa. Ini review untuk anda.

Awal kemasukan Xiaomi Mi Note 3 sekitar September 2017 yang lalu, kebanyakkan penjual menawarkan peranti tersebut pada harga sekitar RM1700 – RM1800. Kini, anda boleh mendapatkan peranti ini  pada harga serendah RM1100.

BILA MASA XIAOMI LANCAR MI NOTE 3?

Bagi yang tidak mengenali Xiaomi Mi Note 3, ia merupakan penyambung legasi siri premium Mi Note yang dilengkapi dengan spesifikasi tinggi (High end device) . Namun berbeza dengan apa yang terjadi terhadap Xiaomi Mi Note 3. Ia sebuah peranti Mi Note yang menggunakan spesifikasi kelas pertengahan.

Siri Mi Note agak kurang diberi perhatian terutamanya Mi Note 3. Maka, tidak hairan lah jika ramai yang menganggap peranti ini sebagai peranti yang dianak tirikan.

Model ketiga dalam siri Mi Note ini dilancarkan serentak dengan peranti flagship Xiaomi iaitu Xiaomi Mi Mix 2 pada September 2017 yang lalu. Mi Note 3 menggunakan rekaan yang hampir sama dengan Mi 6 namun dilengkapi dengan skrin yang lebih besar dan spesifikasi yang lebih rendah ( kelas pertengahan).

ULASAN SPESIFIKASI : PERANTI KELAS PERTENGAHAN TERBAIK

Jika dilihat dari segi spesifikasi, Mi Note 3 dilengkapi dengan spesifikasi kelas pertengahan terbaik dalam kelasnya. Cip pemprosesan Snapdragon 660 dibantu dengan ram sebesar 6GB yang terdapat pada peranti ini menjadikan pengalaman menggunakannya tak ubah seperti menggunakan peranti flagship. Segala-galanya pantas dan lancar.

Dwi-kamera 12 megapiksel yang terdapat pada peranti ini merupakan kekuatan utama Mi Note 3.  Xiaomi juga meletakkan kamera selfie 16 megapiksel dibahagian hadapan,  sekaligus menjadikan peranti MN3 mereka smartphone terbaik untuk mereka yang gemar berselfie.

Spesifikasi lain yang terdapat Mi Note 3 ini ialah skrin 1080p bersaiz 5.5 inci dengan 401 PPI density, cukup lawa padan dengan harga semasa yang ditawarkan. Bateri sebesar 3500mAh yang tidak mengecewakan, sistem operasi MIUI9 berasaskan Android 7.0 Nougat , hadir dengan dua saiz memori dalaman berbeza iaitu 64GB dan 128GB, pengecasan berasaskan sambungan USB Type-C dan menyokong fungsi dwi-sim tanpa sokongan sdcard.

Secara atas kertas, mungkin sesetengah orang memandang remeh terhadap spesifikasi peranti ini. Jika anda termasuk dalam golongan tersebut, anda tersilap. Pengalaman menggunakan peranti ini selama beberapa bulan sebelum ulasan diterbitkan jelas menunjukkan Mi Note 3 bukan sebuah peranti yang boleh dipandang enteng.

ULASAN UTAMA : PRESTASI FLAGSHIP PADA PERANTI KELAS PERTENGAHAN

Untuk bahagian ulasan utama ini, saya bahagikan kepada dua bahagian penting iaitu kelebihan Mi Note 3 dan juga kekurangan Mi Note 3 supaya mudah untuk anda fahami. Saya mulakan dengan pendapat peribadi secara keseluruhan selepas menggunakan peranti ini untuk beberapa bulan. Xiaomi Mi Note 3 berjaya membuatkan nafsu untuk membeli smartphone lain terbantut walaupun keinginan untuk mencuba peranti baru yang diperkenalkan di pasaran sentiasa ada.

Peranti ini sangat sempurna sehinggakan saya sering membandingkan kelebihan dan kekurangan Mi Note 3 dengan peranti kelas pertengahan lain, berakhir dengan banyak kelebihan memihak kepada MN3 ini.

REKAAN DAN KEMASAN

Jika anda perhatikan trend peranti semasa, kebanyakkannya hadir dengan skrin sebesar menghampiri 6 inci atau lebih sikit dari 6 inci. Secara peribadi, saiz 6 inci keatas agak besar bagi saya. Xiaomi Mi Note 3 boleh dikatakan antara peranti generasi terakhir Xiaomi yang menggunakan skrin 5.5 inci sebelum peranti selepasnya kebanyakkan dilengkapi dengan skrin bersaiz 6 inci.

Xiaomi Mi Note 3 tak boleh dinafikan merupakan antara smartphone Xiaomi dengan rekaan yang amat cantik dan elegan. Rekaan yang sama turut digunakan pada Xiaomi Mi 6 namun yang membezakan antara keduanya ialah saiz skrin ( 5.5 inci vs 5.15 inci ).

Bahagian belakang dilengkapi dengan binaan kaca yang sedikit melengkung di bahagian tepi. Ini trick yang dilakukan oleh Xiaomi bagi memastikan peranti Mi Note 3 mereka selesa dipegang walaupun menggunakan skrin 16:9 bersaiz 5.5 inci. Masalah utama dengan penggunaan kaca dibahagian belakang ialah, tak lain tak bukan, licin bagai nak rak dan kesan cap jari bersepah di seluruh permukaan belakang peranti ini.

Selain rekaan belakang yang sedikit melengkung, satu perkara yang saya turut perasan ialah kemasan logam di bahagian tepi peranti juga turut melengkung. Ini menyukarkan saya untuk memegang Mi Note 3 dengan lebih kemas tanpa risau terjatuh. Anda dinasihatkan untuk memakai casing bagi memastikan pegangan yang lebih kemas.

KELEBIHAN UTAMA

Processor dan RAM
Cip pemprosesan Snapdragon 660 dan 6GB ram. Dua perkara ini sudah cukup untuk menjadikan MN3 sebagai sebuah peranti yang amat cemerlang. Sebuah peranti kelas pertengahan namun dengan prestasi setaraf flagship lain. Snapdragon 660 boleh dianggap sebagai cip pemprosesan kelas pertengahan terbaik milik Qualcomm. Kombinasi dua hardware ini membuatkan pengalaman menggunakan MN3 sangat pantas dan lancar tanpa sebarang lag.

Bagi yang tertanya-tanya, Snapdragon 660 duduk di level mana, ianya merupakan processor kelas pertengahan tertinggi (sebelum Snapdragon 710 diperkenalkan). Secara ringkas, nak bagi mudah faham, peranti yang menggunakan Snapdragon 660 merupakan peranti kelas pertengahan terbaik boleh anda dapatkan.

Kamera.
Superb, just superb. Kamera dwi-lensa 12 megapiksel yang digunapakai oleh Mi Note 3 diperakui sendiri oleh pihak DXOMark, sebuah badan yang mengkaji kebolehan dan keupayaan kamera sesebuah peranti bahawa antara ia dilengkapi kamera terbaik hampir setaraf dengan peranti yang jauh lebih mahal dan hebat.

Ini spesifikasi kamera yang terdapat pada Xiaomi Mi Note 3 sebagaimna yang dikongsikan oleh pihak DXOMark.

  • Dual-camera
  • 12Mp main camera with 1.25µm pixel pitch, 27mm f/1.8 lens, OIS
  • 12Mp secondary camera with 52mm f/2.6 lens for 2x optical zoom
  • Phase-detection autofocus
  • Dual-LED (dual-tone) flash
  • 16Mp front camera
  • 4K 2160p@30fps or 720p@120fps video

Kini setelah hampir 4 bulan menggunakan peranti ni sebagai peranti utama, kemampuan kamera yang ada padanya terus membuatkan saya kagum. Dwi kamera MN3 menghasilkan gambar dengan warna yang tepat serta sangat terperinci.

*Kesemua contoh gambar yang dipaparkan adalah tanpa sebarang edit.

Kamera utama peranti ini juga mampu menghasilkan kesan khas bokeh yang menarik dan boleh diterima akal yang waras.Bagaimana dengan prestasi dalam keadaan kurang cahaya? Hampir sempurna. MN3 mampu merakamkan gambar yang pada hemat saya sangat baik walaupun fungsi HDR tidak diaktifkan.

Prestasi Bateri.
Memukau. Sebelum ini, saya pernah mengulas mengenai prestasi bateri Xiaomi Mi A1 dan menganggap ianya antara yang terbaik dengan kemungkinan tiada peranti  kelas pertengahan yang akan mampu membuatkan saya kagum dengan prestasi baterinya. Saya tersilap.

Xiaomi Mi Note 3 hadir dengan prestasi bateri yang amat baik dan menyenangkan hati. Setakat ingin bertahan lebih dari sehari dengan penggunaan berterusan (heavy used) tiada masalah. Anda bukan seorang heavy user ? Mi Note 3 di tangan anda akan mampu bertahan hampir dua hari dengan mudah. Perhatikan statistik penggunaan bateri dibawah.

Peranti ini mengambil masa kira-kira 1 jam 30 min untuk dicas penuh melalui USB Type-C dan ya, ia menyokong ciri-ciri pengecasan pantas.

Speaker.
Jarang bagi saya untuk mengulas mengenai speaker pada sesebuah peranti kerana saya menganggap asalkan bunyi yang terhasil cukup kuat dan jelas, itu sudah cukup.

Lain kisahnya dengan Xiaomi Mi Note 3, saya letakkan speaker peranti ini dalam kategori satu kelebihan. Mengapa? Bunyi yang dihasilkan amat kuat dan jelas. Cukup kuat sehingga saya hanya menetapkan kadar bunyi kepada separuh. Cukup kuat dan jelas sehinggakan satu pejabat boleh pandang pelik jika anda terlupa untuk perlahankan volume.

Sistem Operasi MIUI 9 – Kini Padu!
Bagi yang telah lama mengikuti hasil penulisan saya di soleheen.com, anda pasti sedar bagaimana saya berulang kali menyatakan, tiada apa yang dapat menandingi pengalaman menggunakan sistem operasi stock Android terutama yang terdapat pada siri peranti Nexus dan Pixel. Penggunaan Android Skin seperti Samsung Touchwiz, HTC Sense, EMUI dan MIUI bagi saya merosakkan pengalaman menggunakan peranti Android.

Akan tetapi itu cerita dahulu. Saya terpaksa mengakui bahawa MIUI yang dihasilkan oleh Xiaomi kini cukup baik dan matang, memberikan pengalaman penggunaan lain dari yang lain. MIUI 9 cukup berbeza dengan MIUI 8, agak mengkagumkan untuk melihat bagaimana Xiaomi mampu melakukan perubahan ketara terhadap sistem operasi milik mereka.

MIUI 9 cukup pantas dan smooth as silk. 4 bulan menggunakan MIUI 9, saya agak kagum, ia kini setanding dengan pengalaman menggunakan stock Android. Ciri-ciri tambahan yang ada padanya cukup saya gemari terutamanya bahagian sekuriti MIUI 9 dan beberapa bahagian tambahan yang lain.

Sudah tentu cemerlangnya sistem operasi MIUI 9 yang saya sebutkan diatas dibantu oleh cip pemprosesan Snapdragon 660 dan 6GB ram yang terdapat pada Mi Note 3. Saya secara peribadi merasakan, anda akan dapat merasai pengalaman yang serupa walaupun menggunakan peranti Xiaomi dilengkapi Snapdragon 625 ataupun 636. Cuba bayangkan, MIUI 9 dikuasakan oleh Snapdragon 835 ataupun Snapdragon 845 dengan 8GB ram?

KEKURANGAN UTAMA DAN ISU YANG DIHADAPI

Memandangkan ini bukan ulasan dan review berbayar, jadi saya bebas untuk memberikan pendapat sejujur yang mungkin tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Adakah Xiaomi Mi Note 3 sebuah peranti yang sempurna tanpa cacat cela ? Jawapan mudah ? Tidak dan bersepah cacat cela yang saya temui sepanjang menggunakan Mi Note 3 ini.

Realiti sekarang, memang takkan ada peranti tanpa sebarang masalah. Belilah peranti berharga belasan ribu ringgit pun, akan ada isu yang membelenggu. Saya mulakan dengan kekurangan utama yang terdapat pada Xiaomi Mi Note 3 ini.

Tiada Headphone Jack
Headphone jack atau mungkin sesetengah daripada anda memanggilnya bicu audio, diketepikan oleh Xiaomi untuk peranti generasi baru mereka. Saya baru sahaja memuji Xiaomi kerana mengekalkan headphone jack pada peranti Mi A1 mereka dan hari ini terpaksa bersabar dengan ketiadaan headphone jack pada Mi Note 3.

Bagi sesetengah pengguna, mungkin ini bukan satu isu yang besar, akan tetapi tidak bagi saya. Sebagai seorang yang rajin mendengar lagu dan pengguna tegar Spotify Premium, ketiadaan headphone jack sangat memberi kesan.

Xiaomi cuba “memperbetulkan keadaan” dengan membekalkan adapter headphone jack, akan tetapi ianya tetap tidak sama. Penggunaan adapter hanya menambahkan “serabut kepala” pengguna untuk menjaga adapter tersebut dari hilang. Solusi lain ? Beli Wireless Bluetooth Earphone yang berharga ratusan ringgit yang turut mempunyai kekurangan tersendiri.

Aplikasi Kamera Lag
Kamera Mi Note 3 mampu menghasilkan gambar yang memuaskan hati dan akan membuatkan crush anda like setiap post Instagram anda. Akan tetapi, isu yang membelenggu peranti ini ialah lag yang berlaku ketika aplikasi kamera dibuka. Bayangkan ketika anda ingin mengambil gambar di saat yang kritikal dan perlukan kepantasan kamera,  tetapi terpaksa menunggu 2,3 saat untuk kamera dibuka sepenuhnya.

Tiada Fungsi Wireless Charging
Come on, Xiaomi! Rekaan belakang menggunakan kaca akan tetapi tidak menyokong fungsi Wireless Charging. Secara peribadi, saya merasakan wireless charging merupakan satu ciri yang akan memudahkan pengguna untuk mengecas peranti pintar masing-masing tanpa perlu teraba-raba mencari dimana kabel pengecasan diletakkan.

MIUI Berat Sebelah!
Jika anda pernah menggunakan peranti Xiaomi, pasti anda sedar bahawa Xiaomi menghasilkan beberapa jenis rom MIUI yang berbeza mengikut pasaran peranti. Secara asasnya, terdapat dua jenis rom MIUI, iaitu MIUI 9 Chinese Rom dan MIUI Global Rom.

Dekat mana yang berat sebelah ? Proses pembangunan rom china lebih aktif dan disertakan dengan kemaskini aktif serta ciri-ciri yang kadangkala tidak terdapat pada Global Rom. China Rom juga dikatakan lebih stabil.

Dalam kes Mi Note 3, fungsi dan ciri utama peranti ini iaitu Face Unlock tidak terdapat pada Global Rom. Dalam erti kata lain, hanya pengguna di China ataupun mereka yang menggunakan China Rom sahaja yang boleh mencuba fungsi tersebut. Sudah tentu, pengguna boleh mengambil keputusan untuk flash China Rom kedalam peranti mereka, namun itu bukan solusi terbaik.

Sebenarnya, bukanlah berat sebelah. Mereka sudah tentu mempunyai alasan tersendiri, akan tetapi perasaan kecewa pengguna sememangnya tak dapat dielakkan.

SOKONGAN PEMBANGUN (XDA FORUM, MI FORUM)
Ini antara ciri yang saya rasakan agak penting untuk dinilai oleh advance user, kaki flash rom, kaki mods dan lain-lain. Berita baik jika anda tergolong dalam golongan advance user, Mi Note 3 mempunyai sokongan pembangun yang aktif. Beberapa rom terkenal telah pun disokong oleh peranti ini termasuk LineageOS, AOSP Extended, XenonHD dan crDroid. Mods terkenal seperti GCam turut boleh didapati. Tiada masalah untuk anda menukar rom dan mods di kala bosan.

RUMUSAN : TAK PERLU PANDANG YANG LAIN DAH

Xiaomi Mi Note 3 bak kata mat saleh “checked all the boxes”, hardware kelas pertengahan premium, dwi-lensa kamera yang diperakui oleh DXOMark sebagai antara yang terbaik, MIUI9 yang pantas dan semakin stabil tanpa isu ketara, bateri 3500mAh yang mampu bertahan sehari suntuk dengan purata screen on time (SoT) sekitar 5-6 jam dan rekaan badan yang premium serta kemas.

Peranti ini sangat mudah untuk disyorkan kepada sesiapa sahaja. Hanya dua variasi yang diperkenalkan (beza pada saiz memori terbina, 64GB vs 128GB) tanpa sebarang variasi dan nama yang memeningkan kepala. Prestasi setaraf atau mungkin paling dekat dengan peranti flasghip akan tetapi boleh didapati pada harga yang sangat berpatutan. Tunggu apa lagi ?

Pesaing ?
Menyentuh mengenai pesaing yang ada, ya, memang agak banyak. Dalam keluarga peranti Xiaomi sahaja terdapat beberapa peranti yang mampu mengganggu gugat kedudukan Mi Note 3. Antaranya ialah peranti bajet siri Redmi, Redmi Note 5 yang dilengkapi dengan Snapdragon 636. Saya bercadang untuk mengulas perkara ini dalam satu artikel berasingan memandangkan topik tersebut agak hangat untuk dibincangkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here