Review Kelebihan dan Kekurangan Xiaomi Redmi Note 4

0
2,807 views
views

Kelebihan dan kekurangan Xiaomi Redmi Note 4, itu yang akan saya ulas dalam artikel ulasan kali ini. Mengikut pengalaman peribadi sendiri, soalan “Bro smartphone apa paling berbaloi untuk dibeli dengan bajet bawah RM900?”, merupakan antara soalan paling kerap diterima dari pembaca dan orang sekeliling. Kadangkala agak sukar untuk memberikan jawapan yang konkrit memandangkan tiada pengalaman dalam menggunakan peranti yang ingin dicadangkan.

Saya mengambil keputusan untuk mencuba sendiri peranti paling berbaloi untuk dimiliki dibawah harga RM1000. Selepas melakukan penilaian terhadap beberapa peranti yang berpotensi, Xiaomi Redmi Note 4 dipilih atas beberapa sebab.

Redmi Note 4 hadir dengan beberapa model yang dilengkapi dengan spesifikasi berbeza. Antara perbezaan ketara ialah cip pemprosesan yang digunakan pada peranti tersebut. Anda boleh memilih RN4 dengan cip pemprosesan Mediatek X20 ataupun Snapdragon 625 yang baru sahaja memasuki pasaran Malaysia.

Sejujurnya, memang agak ragu-ragu untuk menggunakan peranti dilengkapi Mediatek processor biarpun ianya MTK X20. Namun harga yang murah sekitar RM700-RM900, saya ingin melihat samada berbaloi ataupun tidak untuk melaburkan sejumlah wang untuk peranti tersebut.

Model yang dipilih ialah Xiaomi Redmi Note 4 edisi khas atau edisi terhad . Hadir dengan warna Matte Black, harus saya akui, Redmi Note 4 berwarna hitam ini amat menarik dan sedap mata memandang berbanding warna silver atau gold. Ianya sedikit lebih mahal berbanding dua warna yang lain.

Diatas kertas, spesifikasi yang digunakan oleh Redmi Note 4 ini boleh dikatakan amat baik dan berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Itu sekadar dari atas kertas. Bagaimana dengan pengalaman sebenar menggunakan peranti tersebut untuk beberapa ketika? Saya akan mulakan dengan pendapat saya secara keseluruhan. Tiada “wow factor” yang boleh diingat sampai mati dan tidak ketinggalan terdapat beberapa elemen yang agak mengecewakan.

Mengapa?

Sebagai pengguna peranti LG Nexus 5 sejak 2013, saya mengharapkan Xiaomi Redmi Note 4 ini mampu memberikan wow factor yang boleh membuatkan saya melupakan Nexus 5. Beralih dari sistem operasi stock Android Nougat kepada MIUI8 berasaskan Android 6.0 Marshmallow boleh dikatakan sebagai satu tindakan berani mati memandangkan pengalaman menggunakan stock Android tidak boleh ditandingi.

VIDEO ULASAN

REKAAN DAN KEMASAN

Xiaomi menghasilkan Redmi Note 4 dengan kemasan dan rekaan yang ditambahbaik. Secara peribadi, ia lebih kemas berbanding Redmi Note 3. Hadir dengan saiz skrin sebesar 5.5 inci, ianya mustahil untuk menggunakan peranti ini dengan sebelah tangan melainkan tangan anda betul-betul besar.

Lengkungan pada bahagian badan di belakang Redmi Note 4 ini sangat membantu dalam memastikan pegangan lebih kemas dan selesa tanpa sebarang masalah. Xiaomi walaubagaimanapun mengambil keputusan untuk tidak menggunakan sambungan USB Type-C pada Redmi Note 4 dan memilih untuk mengekalkan micro-usb yang agak ketinggalan untuk tahun 2017 ini.

MEDIATEK HELIO X20 vs SNAPDRAGON 625

Ini antara topik yang menjadi perdebatan hangat dikalangan pengguna Android. Rata-rata memandang rendah cip pemprosesan Mediatek dan lebih memihak kepada cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon.

Namun harus diingat, Mediatek Helio X20 merupakan bekas cip pemprosesan high-end milik Mediatek dan bukan cip kelas pertengahan. Siri Mediatek Helio adalah siri flagship processor berada di dalam kelas yang sama seperti Snapdragon 800 series milik Qualcomm. Siapa lebih baik, itu bahagian lain yang boleh dibincangkan.

Qualcomm Snapdragon 625 pula merupakan processor middle class atau kelas pertengahan. Jika hendak dibandingkan dua cip pemprosesan ini, secara asasnya, Mediatek Helio X20 adalah lebih baik berbanding Snapdragon 625 dari segi prestasi peranti.

Untuk pengguna biasa, tiada perbezaan ketara yang dapat anda rasakan, akan tetapi untuk advance user, rata-rata akan memilih model Snapdragon 625. Ini kerana, ianya lebih mesra pembangun dan proses pembangunan custom rom untuk versi SD625 jauh lebih pantas dan stabil berbanding model yang dilengkapi dengan Mediatek Helio X20.

Bagaimana dengan benchmark score ?

Xiaomi Redmi Note 4 yang dilengkapi dengan Mediatek Helio X20 skor markah keseluruhan yang lebih baik berbanding Snapdragon 625. Anda boleh rujuk perbandingan yang dilakukan oleh pihak GizmoChina.

SOFTWARE

Android 6 Marshmallow masih menjadi pilihan Xiaomi untuk Redmi Note 4. Sesuatu yang agak mengecewakan disaat Android 7.1 Nougat telah pun dikeluarkan hampir setahun. Dilengkapi dengan MIUI8, Redmi Note 4 mempunyai pelbagai ciri tambahan yang tidak terdapat pada stock Android yang amat membantu dalam memudahkan urusan seharian.

Ciri-ciri Dual-Apps, Second Space dan App Lock yang terbina ialah antara fungsi yang amat saya senangi. Walaubagaimanapun, MIUI8 masih jauh untuk dikatakan sebagai sempurna dan seronok untuk digunakan. Masih terdapat lag yang boleh diperasan berlaku dan saya percaya ianya disebabkan oleh MIUI8 sama seperti kes Samsung dengan TouchWiz mereka.

Selain lag yang tidak berapa ketara, antara isu atau masalah lain yang dialami ialah fungsi Double Tap to Wake tidak berapa berkesan dan kurang responsive dimana saya terpaksa tap beberapa kali sebelum ia menjadi.

Sebagai seorang pengguna yang rajin menggunakan custom rom pada peranti Android, saya tidak sabar untuk menunggu sokongan custom rom yang stabil untuk model Mediatek ini.

PRESTASI KAMERA

Xiaomi mengatakan kamera pada Redmi Note 4 telah ditambahbaik terutama fungsi mengambil gambar dalam keadaan kurang cahaya. Redmi Note 4 mampu mengambil gambar yang boleh dikatakan cantik jika fungsi HDR diaktifkan dan gambar diambil dalam keadaan pencahayaan yang amat baik.

Sekadar untuk mengambil gambar yang sempurna untuk dimuat naik di Instagram, jangan risau, Redmi Note 4 tidak akan mengecewakan anda. Bagaimana pula dengan prestasi keadaan kurang cahaya ? Sejujurnya, ia tidak begitu membanggakan dan hanya berada pada tahap agak kurang memuaskan hati.

PRESTASI BATERI

Mengecewakan. Saya menjangkakan bateri sebesar 4,100mAh mampu bertahan agak lama dengan penggunaan berat (heavy use) dan screen on time yang lebih lama. Namun, sebaliknya yang berlaku.

Ada ketika sedang sibuk di pejabat dan kurang menggunakan Redmi Note 4 ini, bateri terus berkurang dengan agak laju walaupun sangat jarang disentuh dan tersadai diatas meja. Ianya berkaitan dengan fungsi Deep Sleep yang menjadi isu pada peranti ini.

Selepas melakukan carian Google mengenai masalah bateri yang dialami, ia terjadi pada model Xiaomi Redmi Note 4 yang menggunakan cip pemprosesan Mediatek Helio X20. Berbanding model Snapdragon 625, Mediatek Helio X20 tidak sebaik SD625 dalam hal menguruskan kuasa bateri atau Power Efficiency nya.

Isu ini walaubagaimanapun tidak memberi kesan kepada semua peranti Redmi Note 4 dan dipercayai hanya sesetengah peranti sahaja yang tidak bernasib baik. Xiaomi dijangka akan menyelesaikan isu bateri ini dalam kemaskini akan datang yang bakal dikeluarkan.

KELEBIHAN XIAOMI REDMI NOTE 4

Harga. Itu kelebihan utama peranti ini. Ia boleh didapatkan pada harga serendah RM700 dan spesifikasi yang digunakan boleh dianggap sebagai berbaloi.

Gabungan flagship processor terdahulu milik Mediatek, Helio X20 dan ditambah dengan ram sebesar 3GB, ianya smooth, pantas dengan prestasi yang menyenangkan hati.

Bateri sebesar 4100mAh. Jika berdasarkan pengalaman peribadi, saya tidak ingin meletakkan prestasi bateri dalam kategori kelebihan, akan tetapi memandangkan ianya isu terpencil dimana tidak semua terkesan, bateri bersaiz 4100mAh yang ada pada Redmi Note 4 ini sebenarnya satu kelebihan buat peranti ini.

Tambahan pula, peranti ini dilengkapi fungsi penjimatan bateri terbina dimana anda boleh memantau penggunaan bateri peranti tersebut. Isu yang terjadi akan diselesaikan dalam kemaskini Android yang akan dikeluarkan oleh Xiaomi dari masa ke semasa. Jadi, tak perlu risau.

Speaker. Tidak perlu rasanya saya mengulas panjang mengenai speaker yang terdapat pada peranti ini. Cukup dengan mengatakan, ianya terbaik, jelas dan kuat.

KEKURANGAN XIAOMI REDMI NOTE 4

Android 6.0 Marshmallow. Keputusan untuk tidak menggunakan Android 7.0 Nougat bukan satu keputusan yang bijak. Ini akan membuatkan pengguna tertunggu-tunggu kemaskini yang memakan masa.

MIUI8. Sistem operasi Xiaomi ini mempunyai potensi namun masih banyak yang perlu dibaiki dan ditambahbaik. Ianya agak berat dan mengakibatkan Redmi Note 4 mengalami sedikit lag disamping beberapa isu kecil yang perlu diatasi dalam kemaskini akan datang.

Tiada sambungan USB Type-C. Tiada ciri-ciri Fast Charging.

KESIMPULAN

Jika anda mempunyai RM800 untuk membeli smartphone yang tidak mengecewakan, Xiaomi Redmi Note 4 merupakan pilihan terbaik dilengkapi dengan ciri-ciri terkini yang boleh membantu memudahkan urusan seharian.

Bagaimana jika anda ingin membantu kawan atau keluarga memilih peranti terbaik dibawah RM900 ? Cadangkan mereka untuk memilih peranti ini.

Untuk pengalaman penggunaan yang lebih baik, saya cadangkan beberapa modifikasi dilakukan pada bahagian tetapan. Topik ini akan saya ulas dalam artikel seterusnya.

Model manakah yang terbaik? Mediatek Helio X20 atau Snapdragon 625 ?

Buat masa ini, hanya Redmi Note 4 Mediatek sahaja yang dijual di Malaysia. Helio X20 seperti yang saya terangkan diatas, merupakan flasghip processor Mediatek sebelum X25 diperkenalkan. Prestasi yang dipamerkan boleh dianggap cemerlang tanpa sebarang isu besar terjadi.

Jika anda seorang pengguna biasa atau ingin membeli peranti ini untuk orang tua anda, Redmi Note 4 Mediatek ini sudah lebih dari cukup. Tidak perlu menunggu lama untuk memilih Redmi Note 4 yang menggunakan cip pemprosesan kelas pertengahan Snapdragon 625.

Bagaimana jika anda seorang yang aktif menukar custom rom dan lain-lain? Itu anda sendiri tentukan, tepuk dada, buka XDA Dev.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here